Monday, 8 April 2013

Kucing Black Metal

Secara klise dan membosankan, aku mulakan kisah ini dengan ayat -- Di satu lorong sunyi ditengah pekan kecil yang durjana; Smallville. Berjalan aku menghirup angin malam itu. Cahaya lampu neon samar-samar memayungi aku. Tak pantas aku melangkah, bersahaja. Anak-anak liar bergaul-gaul di tepi dinding seni sampah. Si bangka keding meratap khayalan di lunggukan neraka nyata; yang mereka anggap surga. Jelik-sejelik-nya. Sedangkan sang tikus, lipas dan lalat aku rasakan lebih mulia.

Dalam pekan ini, terdapat pelbagai jenis perosak yang kau boleh temui. Dari perosak yang kecil-sekecilnya hingga-lah yang besar-sebesarnya. Apa yang aku dapat lihat dari hari-ke-hari, mereka ini punyai akal fikiran yang cukup, cuma kurangnya; berfikiran cetek.

Jika nak ceritakan satu persatu, aku kira sehingga Dajjal menjelma pun belum tentu akan tamat. Takpun pabila Yakjuj dan Makjuj muncul sampai-lah mereka mati semula; masih belum tamat lagi. Tau kan betapa benak manusia macam ni?

Untuk satu skop yang aku nak kupas ni, bagi orang dah biasa dengar, lihat atau berada dalam situasi ini; mereka akan bosan. Tapi apa aku kesah kan? Apa aku nak kesah? Aku nak cerita, biar ah !.

Kisah dia macam ni, bila ada sesuatu perkara yang negatif, pasti ada pihak yang akan cuba membanteras sebaik boleh. Contohnya, pihak berkuasa agama; kalau di negara Malaysia digelar jabatan agama. Mereka ini akan berusaha untuk mengawal dan memelihara kesucian akidah dan ajaran Islam di negara ini.

Isu yang berleluasa sekarang ini, realiti muzik metal dikatakan mampu membawa para pelajar yang masih muda mentah di semua universiti dan sekolah-sekolah. Mereka menyalahgunakan pemikiran agama orang pertama yang sedikit demi sedikit membawa mereka hanyut dari kebenaran. Berikut adalah beberapa yang ke-ngerian yang aku nak utara-kan. Kau orang pun pernah tau hal ini.


"Muzik Metal ini akan menghargai syaitan dan semua metalheads adalah musuh Tuhan!" - Anonymous

"Orang yang main muzik metal ni langsung tak rasa bersalah! Beraksi gila babi macam nak bunuh orang" - Anonymous

"Muzik metal sama dengan hisap dadah!! Semua metalheads mesti mabuk. Takpun guna dadah untuk menikmati muzik!" - Anonymous

"Mereka akan memanggil banyak band untuk menjadi satanist! Dalam satu konsert tu, akan ada band seperti Dying Fetus, Slayer, Lamb Of God, Children Of Bodom, Dark Funeral dan banyak lagi. Konon-nya dikenali sebagai satanist dan penjenayah dalam dunia muzik" - Anonymous


Kau orang kenal kan polis? Ya, kau orang memang kenal polis. Dekat pekan ni memang ramai polis, yang digelar Polis Moral (Morale Police). Selalu aku lihat, mereka akan menangkap gadis-gadis atau remaja Islam yang memakai baju metal atau hitam (persis baju metal) dan sebagainya. Biar aku kuatkan lagi hal ni.

"Aku ada kenal seorang manusia ni, Matt Daniel. Dia ni rambut kerinting panjang. Badan pun sekeping macam pintu masuk rumah. Agak taksub dengan muzik-muzik jenis keras. Sembang gebang jugak, tapi dia murah dengan senyuman. Selalu kena puji dengan pengemis jalanan; sebab gemar senyum. Pada suatu petang yang tenang, dia jenjalan tepi tasik sambil galas gitar karen, makan ais krim cornetto, petik bunga kertas pastu campak ke dalam tasik; ikan makan sampai mati"

"Apabila dia jenjalan, tetiba Polis Moral menahan dia dan mula terajang buku lali dia sehingga jatuh tersadung atas jalan tar; berdarah mulut". Sebenarnya Polis Moral ni ada moral ke tidak? Boleh tolong jawab? Geram pulak aku. Dah la aku ada darah tinggi ni !.

Kemudian mereka membawa-nya ke balai polis. Mereka memukul sekali lagi sebelum mencukur rambut hingga kepala botak licin. Mereka cakap bahawa instrumen ini adalah Haram; dilarang dalam Islam!.

Daniel masih bernasib baik kerana tidak dipenjarakan!


Mujurlah bagi kebanyakan orang yang lebih cenderung kepada muzik pop, blues, jazz dan rap atau hip-hop. Mereka tidak akan diancam secara serius oleh pihak berkuasa. Ini kerana jenis-jenis muzik sebegini tidak terlalu kompleks dan ia dipanggil "love songs".

Jujur aku cakap, mereka ini adalah golongan yang hanya mendengar satu penyanyi itu untuk hari ini-esok-lusa sahaja dan akan melupakan-nya pada esok hari. Ia seperti baju lama untuk mereka; dah bosan pakai, buang-lah!. Tetapi muzik metal menjadi lebih berharga hari-demi-hari. Sekian lama-nya.

Walaupun tak ramai yang mendengar muzik metal di sini berbanding muzik lain. Aku tetap gembira dengan ia. Aku hanya-lah makhluk yang biasa tetapi mendengar muzik yang sangat luar biasa. Sebenarnya bagus jika kita menjadi yang lain dari sekalian masyarakat. Ini akan mencetuskan sesuatu yang baru, yang tak mungkin orang lain fikir.

Anggapan-ku, muzik metal bukan bertujuan untuk didengari, disayangi, difahami, atau perlu senarai-hitam-kan anasir-anasir dari barat. Tetapi ia mengajar kita supaya tidak mengamalkan anti-moralistik secara berterusan. Jangan jugak kita percaya bahawa semua muzik metal itu anti-Islam. Tidak sama-sekali.

Aku telah mendengar muzik metal ini sudah kira-kira 8 tahun lebih. Aku rasa muzik ini makin sebati dengan diri aku. Member aku mengelarkan aku Kucing Black Metal. Identiti yang agak artistik. 

Hidup, siang, malam, kepercayaan, perasaan, surga dan neraka, aku simpulkan dalam satu perkataan; METAL.


Sudah sampai disini saja, banyak pulak aku membebel. Kau orang pun dah bosan kan? Aku tau kau orang bosan.

Mengodek ekor nan sebatang
mata kecil masih tajam
empat kaki rempuh hari mendatang
tubuh sebulu kering hitam; aku-lah kucing black metal.



|Didi.Andra

No comments:

Post a Comment

Berteleku

Kini di lembaran baharu, aku menukil lagi, sisa yang tertinggal, di persembunyian rindu. Apakah kita yakin segalanya telah pergi? Begi...